Saturday, July 31, 2010

HARI BUMI 22 APRIL 2010



JADIKAN SETIAP HARI ADALAH HARI BUMI..

Tanpa Kita Sedari Hari Bumi Telah Berlalu...
Oleh AMIN AHMAD
22 APRIL telah menjadi satu tarikh Sambutan Hari Bumi di peringkat antarabangsa. Ia mula dijadikan kempen sambutan oleh Senator Gaylord Nelson dari wilayah Wisconsin, Amerika Syarikat pada tahun 1969 yang mahu menyebar-luaskan pemahaman berkaitan isu alam sekitar.
Jika kita meneliti perjalanan sejarah, ternyata dekad akhir 1960-an dan 1970-an adalah satu dekad di mana isu-isu alam sekitar mula mendapat tempat dalam wacana awam.
Setahun kemudian, Minggu Alam Sekitar pula dianjurkan melalui gerak kerja para mahasiswa, aktivis alam sekitar dan profesional menjadi penggerak utama.
Sejak sambutan itu, kempen ini diperluaskan ke seluruh dunia dan kini hampir seluruh negara di dunia menyambutnya. Kempen ini berjaya digerakkan secara intensif dengan kehadiran teknologi komunikasi yang berkembang pantas pada era 1990-an.
Sebenarnya globalisasi bukan saja berkaitan hal ehwal ekonomi dalam konteks perdagangan kerana yang lebih besar daripada itu ialah perkembangan idea tentang pelbagai hal ehwal kehidupan termasuk alam sekitar.
Pasca Perang Dunia ke-2, terlalu banyak kerosakan yang berlaku akibat penggunaan dan kemusnahan sumber alam akibat kegagalan manusia memahami persoalan diri dan hubungannya dengan yang lain – Tuhan, manusia lain dan alam sekitar.
Memahami persoalan diri dan hubungannya dengan yang lain melibatkan sejumlah aspek pemikiran. Dalam kajian hal ini, pemikiran manusia itu banyak dan saya menganggapnya sangat menarik.
Sebaik selesai pengajian Ijazah Sarjana Muda, saya pernah membantu penyelidikan pensyarah saya di kampus tentang hubungan manusia dan hidupan liar. Ia sebuah kajian kualitatif di mana perbualan misalnya dengan orang Asli dirakam.
Beberapa soalan panduan telah disediakan dan kemudian diajukan satu persatu kepada orang Asli tadi. Daripada jawapan mereka kita boleh melihat bagaimana persepsi dan hubungan mereka dengan alam sekitar, dan dalam kajian ini ialah hubungan dengan hidupan liar sebagai satu daripada elemen alam sekitar yang ada.
Kita boleh menemukan bagaimana persepsi manusia adalah pelbagai berkaitan hubungannya dengan hidupan liar. Ada yang berpandangan bahawa hidupan liar adalah ‘rakan’ dan ada pula yang berpandangan bahawa hidupan liar adalah ‘musuh’.
Elemen positif dan negatif bercampur-campur berasaskan pengalaman dan pengetahuan orang Asli ini. Kita boleh menemukan sebab, punca, akibat dan sebagainya dalam kajian ini.
Memang, bukan semua teori adalah bersifat pemikiran semata-mata kerana lebih banyak teori digarap berasaskan pengalaman lapangan.
Ini adalah kajian asas atau dalam bidang penyelidikan disebut sebagai kajian fundamental. Ia bertujuan untuk menyediakan tapak kepada keluasan kajian dalam bidang tersebut.
Dalam satu kuliah umum yang saya anjurkan bersama teman-teman Pentas Ilmuwan Muda Malaysia (Ilmuwan Muda), saya sempat berbual dengan Profesor Shaharir Mohd Zin dan Dr. Mohd Alinor bin Abdul Kadir.
Menurut mereka, kajian dalam bidang Alam Sekitar adalah satu bidang kajian yang paling luas.
Saya banyak melihat kerja keras mereka meneroka manuskrip-manuskrip lama hatta yang bukan berbahasa Melayu untuk menemukan semula kekuatan sejarah yang membina Tamadun Melayu.
Hasil daripadanya Profesor Shaharir telah menulis Teori Kepemimpinan dan Kepenggunaan Rumpun Melayu. Ternyata, rumpun Melayu itu kaya dengan sejarah dan kompleks pula alirannya.
Ternampak ada ruang besar untuk diisi dengan kajian alam sekitar berasaskan manuskrip-manuskrip lama ini. Di sana kita boleh menemukan bagaimana rumpun Melayu mengolah kehidupan pada waktu itu dan hubungannya dengan yang lain.
Dalam dunia moden, ilmu pengetahuan kian berintegrasi dan tidak lagi beku seperti apa yang pernah diungkap Jose Ortega y Gasset dalam Revolt of the Masses sebagai ‘kedurjanaan pengkhususan’ (barbarism of specialization).
Ilmu alam sekitar perlu mampu dilihat dalam konteks Sosio-Budaya selain daripada Sains dan Teknologi.
Hujung minggu lalu saya ke Singapura menziarahi abang yang bekerja di sana. Sebelum ini saya pernah ke beberapa negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Saya juga pernah ke negara Filipina, Thailand dan Indonesia.
Secara umumnya, saya dapat membezakan kualiti persekitaran di negara maju dan negara membangun. Saya boleh melihat bagaimana bersihnya keadaan persekitaran negara maju dan bagaimana ‘bersepahnya’ keadaan persekitaran negara membangun.
Ini bukan satu kritikan semata-mata atau mungkin satu perbandingan yang tidak patriotik kepada negara sendiri. Saya cuba memikirkan hubungan kemajuan dengan kebersihan serta hal-hal lain seperti budaya masyarakat sivil khususnya dalam aspek pendidikan, pemikiran dan gerak kerja kemasyarakatan.
Saya harus berani mengatakan tidak semua yang ada di negara maju itu baik dan tidak semua yang ada di negara membangun atau mundur itu buruk. Tetapi, ia tidak wajar dijadikan satu pengalihan untuk tidak meningkatkan kualiti keadaan persekitaran kita.
Ternampak hal ehwal pendidikan, pemikiran dan gerak kerja kemasyarakatan kita cenderung mencari siapa yang bersalah dan patut bertanggungjawab dengan masalah tertentu. Ia tidak salah tetapi itu sahaja tidak memadai.
Saya masih ingat ketika aktif berdakwah bersama Jemaah Tabligh, ada satu prinsip yang kami diajar untuk pegang iaitu sentiasa cuba menunaikan hak yang lain dan menjaga hak sendiri.
Hak adalah satu perkara yang universal. Bumi ada haknya dan bumi adalah satu daripada hal universal. Hadirkan kesedaran dalam diri dan sebarkan kesedaran ini.
Tunaikanlah hak bumi. Selamat menyambut Hari Bumi.

No comments:

Post a Comment