Sunday, August 1, 2010

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 5 JUNE 2010

Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin

ALLAH SWT telah berfirman di dalam surah al-Anfaal, ayat 53 yang bermaksud: “…sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat itu jelas menggambarkan kepada kita seruan Allah agar setiap manusia di atas muka bumi ini sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik di dalam semua aspek kehidupan. Salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah berhubung isu pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta segala komponen yang ada di dalamnya. Dalam konteks ini, kita disaran agar mengambil segala manfaat daripada alam dengan tidak mengabaikan aspek-aspek pelestariannya.

Dewasa ini, kita dapati manusia dengan sewenang-wenangnya telah melanggar hukum Allah. Buktinya telah banyak kepincangan yang berlaku ke atas alam sekitar kita lantaran kerakusan sikap manusia yang lebih mengutamakan kepentingan duniawi semata-mata berbanding ukhrawi. Saban hari, kita masih lagi dipaparkan dengan pelbagai berita berhubung permasalahan alam sekitar seperti pencemaran, pembalakan haram, eksploitasi sumber alam secara berlebihan sehingga membawa kepada ancaman kepupusan dan sebagainya.

Keterlanjuran sikap manusia mengingkari alam dikhuatiri akan menimbulkan kemurkaan Allah. Antara tanda-tanda kemurkaan Allah yang dapat kita lihat ialah berlakunya pelbagai bencana alam yang kerap serta sukar diramal seperti tanah runtuh, banjir kilat dan pemanasan global.
Hal ini telah diingatkan di dalam firman-Nya (surah al-Rum, ayat 41) yang bermaksud: Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Namun malangnya, amaran-amaran Allah terhadap larangan mencabuli hak alam hanya ‘persis angin lalu’ sahaja. Ia sedikit pun tidak meruntun hati segelintir golongan manusia yang telah sebati dengan sikap angkuh dan sombong yang terus-terusan bertindak rakus menodai alam sehinggakan ia kian diselubungi kelemasan.

Sikap seumpama ini perlu segera diusir dari jiwa setiap individu. Ini kerana jika ia berlarutan, kelak akan mengundang padah yang lebih besar lagi bukan sahaja kepada alam sekitar, bahkan juga kepada seluruh hidupan yang menghuninya. Justeru, langkah proaktif untuk membendungnya perlu diambil agar roh cintakan alam sekitar dapat disemai di dalam jiwa setiap anggota masyarakat.

Lantaran itu, pelbagai program kesedaran alam sekitar telah dianjurkan bagi memastikan matlamat tersebut dapat direalisasikan. Antara program yang cukup besar ialah Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada tarikh 5 Jun setiap tahun di seluruh dunia. Ia bertujuan menyuntik semangat kesedaran di kalangan masyarakat dunia agar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat alam sekitar.
Menyoroti sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, ia merupakan salah satu daripada agenda utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar serta meraih perhatian dan tindakan politik di seluruh dunia berhubung isu dan permasalahan semasa alam sekitar.

Sambutan tersebut merupakan inisiatif bagi menggalakkan ekonomi karbon yang lebih rendah serta gaya hidup hijau seperti penggunaan tenaga yang lebih efisien, penggunaan sumber tenaga alternatif, pemuliharaan hutan dan penggunaan mesra alam dalam aktiviti seharian.
Saban tahun ia disambut dengan pelbagai tema yang berbeza dengan tujuan dapat memberi kesedaran yang lebih menyeluruh di dalam semua isu berkaitan alam sekitar. Namun, persoalannya sejauh manakah program-program yang dianjurkan sempena sambutan tersebut mampu mencapai matlamat penganjuran? Adakah ia benar-benar berkesan dan dapat mendidik jiwa masyarakat atau sebaliknya?

Jika diimbas kembali, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia setiap tahun dengan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan masyarakat dengan alam sudah mampu menitipkan kesedaran dan membuka mata masyarakat untuk lebih prihatin terhadap alam. Cuma, adakah tahap kesedaran tersebut mampu bertahan lama atau akan menjadi ‘suam-suam kuku’ setelah beberapa bulan sambutan tersebut berlalu.

Ini kerana, jika hanya aspek teknikal sahaja yang dititikberatkan di dalam setiap program alam sekitar yang dianjurkan, dikhuatiri kesedaran yang hadir tidak mampu ‘melekat’ selamanya di dalam jiwa masyarakat. Justeru, adalah lebih molek sekiranya sambutan tersebut disuntik dengan pendekatan agama dan tarbiah rohani bagi memastikan ia akan betul-betul tersemat kukuh di dalam jiwa dan sanubari setiap individu.
Oleh itu, sambutan-sambutan hari alam sekitar seharusnya menerapkan elemen ‘mengajak dan mendidik’ manusia untuk melihat alam dengan pandangan ‘mata hati’. Ini kerana, hanya dengan mendidik manusia melihat alam dengan pandangan mata hati sahaja dapat mematikan sikap rakus manusia terhadap alam yang selama ini hanya berkiblatkan ‘pandangan nafsu’ semata-mata.

Sedangkan, terdapat banyak manfaat yang bakal kita peroleh apabila kita melihat alam dengan pandangan mata hati. Antaranya kita akan terasa kewujudan, kehebatan dan keagungan Allah, di samping dapat mempertingkatkan keyakinan kita kepada al-Quran dan hari akhirat.
Apabila bibit-bibit kesedaran yang ikhlas lahir daripada kalbu yang berpaksikan pandangan mata hati, maka kita akan lebih kenal dan dekat dengan Maha Pencipta.

Seterusnya, apabila kita dekat dengan Pencipta, ia sekali gus dapat mengusir segala sikap pesimis kita terhadap alam serta dapat mengelakkan diri daripada melakukan penderhakaan terhadap alam yang telah banyak memberi manfaat kepada kita. Bahkan, ganjaran yang lebih hebat yang bakal kita peroleh apabila hati kita dekat dengan Allah serta amanah dalam melunaskan tanggungjawab terhadap alam ialah ia akan menjadikan kita seorang yang lebih berkeperibadian luhur dalam semua aspek kehidupan.

Oleh itu, sewajarnya sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang dianjurkan di negara kita melakukan transformasi dengan menerapkan unsur pendekatan agama di dalam setiap aktiviti yang dianjurkan sepanjang sambutan tersebut.

Mudah-mudahan dengan penerapan nilai-nilai agama di dalam setiap program sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dapat menjadi pemacu kesedaran kepada semua anggota masyarakat untuk berusaha merubah diri agar lebih prihatin dan menyayangi alam sekitar.
Malah, ia seharusnya menjadi wadah kepada masyarakat untuk mengumpul segala maklumat dan mengambil manfaat daripada setiap program yang dianjurkan sempena sambutan tersebut.
Penglibatan semua pihak sempena sambutan ini adalah penting bagi memastikan matlamat penganjuran tercapai. Sudah tiba masanya, setiap anggota masyarakat bermuhasabah diri agar lebih bersikap adil dan telus terhadap alam sekitar dengan berpaksikan sikap jujur, amanah, bertanggungjawab, prihatin serta menyingkirkan sifat tamak haloba dalam meneroka khazanah alam. Jika sifat-sifat sedemikian mampu diterapkan dalam jiwa setiap insan, pastinya tidak akan goyah iman manusia walau dilanda badai sekalipun.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my


Saturday, July 31, 2010

SEPINTAS SERASI...




Pencalonan Peringkat Pertama


(a) KATEGORI SERASI SEKOLAH RENDAH
Semua sekolah rendah yang terdapat di Negeri Sabah dan tidak termasuk bagi sekolah yang telah menerima anugerah serasi atau lima ketegori serasi pada tahun-tahun yang lalu . Pada peringkat ini sekolah yang melepasi peringakat ini yang dicalonkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) daerah akan memasuki ke peringkat kedua.


(b) KATEGORI SERASI SEKOLAH MENENGAH

Semua sekolah menengah dan teknik yang terdapat di Negeri Sabah dan tidak termasuk bagi sekolah yang telah menerima anugerah serasi atau lima ketegori serasi pada tahun-tahun yang lalu . Pada peringkat ini sekolah yang melepasi peringakat ini yang dicalonkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) daerah akan memasuki ke peringkat kedua.


(c) KATEGORI WIRA HARAPAN SERASI
Peringkat Sekolah Rendah
Hanya sekolah rendah yang pernah memenangi anugerah ketegori dalam Anugerah SERASI sahaja yang layak menyertai bahagian ini dan bagi sekolah yang telah pernah memenangi anugerahkategori Wira Harapan adalah tidak layak lagi untuk bertanding di dalam ketegori ini .

Peringkat Sekolah Menengah
Hanya sekolah menengah yang pernah memenangi anugerah ketegori dalam Anugerah SERASI sahaja yang layak menyertai bahagian ini dan bagi sekolah yang telah pernah memenangi anugerahkategori Wira Harapan adalah tidak layak lagi untuk bertanding di dalam ketegori ini .

(d) KATEGORI WIRA SERASI
Kategori WIRA SERASI ini adalah anugerah tertinggi di dalam pertandingan SERASI. Hanya pemenang-pemenang yang telah berjaya memenangi Anugerah SERASI, Anugerah Wira Harapan sahaja yang layak untuk menyertai bahagian ini.

Peringkat Kedua
Sekolah-sekolah yang telah melepasi peringkat pertama akan memasuki saringan kedua. Pengadilan peringkat akan diadili oleh kakitangan Jabatan Hutan Negeri Sabah. Pengadilan akan dibuat yang mana para pengadil akan turun kelapangan.




Peringakt Akhir.
Sekolah- sekolah yang telah berjaya ke peringkat akhir akan diadili dari semua sudut baik di lapangan atau di peringkatperancangan dan pengurusan. Pengadil peringkat ini adalah dilantik oleh pihak jawatankuasa tertinggi SERASI dan ianya mewakili lapan agensi yang terlibat.



HARI BUMI 22 APRIL 2010



JADIKAN SETIAP HARI ADALAH HARI BUMI..

Tanpa Kita Sedari Hari Bumi Telah Berlalu...
Oleh AMIN AHMAD
22 APRIL telah menjadi satu tarikh Sambutan Hari Bumi di peringkat antarabangsa. Ia mula dijadikan kempen sambutan oleh Senator Gaylord Nelson dari wilayah Wisconsin, Amerika Syarikat pada tahun 1969 yang mahu menyebar-luaskan pemahaman berkaitan isu alam sekitar.
Jika kita meneliti perjalanan sejarah, ternyata dekad akhir 1960-an dan 1970-an adalah satu dekad di mana isu-isu alam sekitar mula mendapat tempat dalam wacana awam.
Setahun kemudian, Minggu Alam Sekitar pula dianjurkan melalui gerak kerja para mahasiswa, aktivis alam sekitar dan profesional menjadi penggerak utama.
Sejak sambutan itu, kempen ini diperluaskan ke seluruh dunia dan kini hampir seluruh negara di dunia menyambutnya. Kempen ini berjaya digerakkan secara intensif dengan kehadiran teknologi komunikasi yang berkembang pantas pada era 1990-an.
Sebenarnya globalisasi bukan saja berkaitan hal ehwal ekonomi dalam konteks perdagangan kerana yang lebih besar daripada itu ialah perkembangan idea tentang pelbagai hal ehwal kehidupan termasuk alam sekitar.
Pasca Perang Dunia ke-2, terlalu banyak kerosakan yang berlaku akibat penggunaan dan kemusnahan sumber alam akibat kegagalan manusia memahami persoalan diri dan hubungannya dengan yang lain – Tuhan, manusia lain dan alam sekitar.
Memahami persoalan diri dan hubungannya dengan yang lain melibatkan sejumlah aspek pemikiran. Dalam kajian hal ini, pemikiran manusia itu banyak dan saya menganggapnya sangat menarik.
Sebaik selesai pengajian Ijazah Sarjana Muda, saya pernah membantu penyelidikan pensyarah saya di kampus tentang hubungan manusia dan hidupan liar. Ia sebuah kajian kualitatif di mana perbualan misalnya dengan orang Asli dirakam.
Beberapa soalan panduan telah disediakan dan kemudian diajukan satu persatu kepada orang Asli tadi. Daripada jawapan mereka kita boleh melihat bagaimana persepsi dan hubungan mereka dengan alam sekitar, dan dalam kajian ini ialah hubungan dengan hidupan liar sebagai satu daripada elemen alam sekitar yang ada.
Kita boleh menemukan bagaimana persepsi manusia adalah pelbagai berkaitan hubungannya dengan hidupan liar. Ada yang berpandangan bahawa hidupan liar adalah ‘rakan’ dan ada pula yang berpandangan bahawa hidupan liar adalah ‘musuh’.
Elemen positif dan negatif bercampur-campur berasaskan pengalaman dan pengetahuan orang Asli ini. Kita boleh menemukan sebab, punca, akibat dan sebagainya dalam kajian ini.
Memang, bukan semua teori adalah bersifat pemikiran semata-mata kerana lebih banyak teori digarap berasaskan pengalaman lapangan.
Ini adalah kajian asas atau dalam bidang penyelidikan disebut sebagai kajian fundamental. Ia bertujuan untuk menyediakan tapak kepada keluasan kajian dalam bidang tersebut.
Dalam satu kuliah umum yang saya anjurkan bersama teman-teman Pentas Ilmuwan Muda Malaysia (Ilmuwan Muda), saya sempat berbual dengan Profesor Shaharir Mohd Zin dan Dr. Mohd Alinor bin Abdul Kadir.
Menurut mereka, kajian dalam bidang Alam Sekitar adalah satu bidang kajian yang paling luas.
Saya banyak melihat kerja keras mereka meneroka manuskrip-manuskrip lama hatta yang bukan berbahasa Melayu untuk menemukan semula kekuatan sejarah yang membina Tamadun Melayu.
Hasil daripadanya Profesor Shaharir telah menulis Teori Kepemimpinan dan Kepenggunaan Rumpun Melayu. Ternyata, rumpun Melayu itu kaya dengan sejarah dan kompleks pula alirannya.
Ternampak ada ruang besar untuk diisi dengan kajian alam sekitar berasaskan manuskrip-manuskrip lama ini. Di sana kita boleh menemukan bagaimana rumpun Melayu mengolah kehidupan pada waktu itu dan hubungannya dengan yang lain.
Dalam dunia moden, ilmu pengetahuan kian berintegrasi dan tidak lagi beku seperti apa yang pernah diungkap Jose Ortega y Gasset dalam Revolt of the Masses sebagai ‘kedurjanaan pengkhususan’ (barbarism of specialization).
Ilmu alam sekitar perlu mampu dilihat dalam konteks Sosio-Budaya selain daripada Sains dan Teknologi.
Hujung minggu lalu saya ke Singapura menziarahi abang yang bekerja di sana. Sebelum ini saya pernah ke beberapa negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Saya juga pernah ke negara Filipina, Thailand dan Indonesia.
Secara umumnya, saya dapat membezakan kualiti persekitaran di negara maju dan negara membangun. Saya boleh melihat bagaimana bersihnya keadaan persekitaran negara maju dan bagaimana ‘bersepahnya’ keadaan persekitaran negara membangun.
Ini bukan satu kritikan semata-mata atau mungkin satu perbandingan yang tidak patriotik kepada negara sendiri. Saya cuba memikirkan hubungan kemajuan dengan kebersihan serta hal-hal lain seperti budaya masyarakat sivil khususnya dalam aspek pendidikan, pemikiran dan gerak kerja kemasyarakatan.
Saya harus berani mengatakan tidak semua yang ada di negara maju itu baik dan tidak semua yang ada di negara membangun atau mundur itu buruk. Tetapi, ia tidak wajar dijadikan satu pengalihan untuk tidak meningkatkan kualiti keadaan persekitaran kita.
Ternampak hal ehwal pendidikan, pemikiran dan gerak kerja kemasyarakatan kita cenderung mencari siapa yang bersalah dan patut bertanggungjawab dengan masalah tertentu. Ia tidak salah tetapi itu sahaja tidak memadai.
Saya masih ingat ketika aktif berdakwah bersama Jemaah Tabligh, ada satu prinsip yang kami diajar untuk pegang iaitu sentiasa cuba menunaikan hak yang lain dan menjaga hak sendiri.
Hak adalah satu perkara yang universal. Bumi ada haknya dan bumi adalah satu daripada hal universal. Hadirkan kesedaran dalam diri dan sebarkan kesedaran ini.
Tunaikanlah hak bumi. Selamat menyambut Hari Bumi.

Sunday, July 18, 2010

MINGGU ALAM SEKITAR SMSLD 12-16 JULAI







JIMATKAN AIR KITAR SEMULA




CINTAI ALAM JIMATKAN TENAGA

GAMBAR ATAS BANNER UNIT BERUNIFORM
GAMBAR BAWAH IKRAR PELAJAR